
Bidara (al-Sidr) ada dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadith. Perbahasan mengenai bidara lazimnya meliputi perbincangan nas meliputi beberapa surah iaitu;

Maksudnya: “Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah serta sedikit pohon-pohon bidara.”
(Surah al-Saba’ (34): 16)
Maksudnya: “Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.”
(Surah al-Waqi’ah (56): 28)
Bidara turut dinyatakan menerusi kalam Nabi s.a.w dan diperincikan manfaatnya. Antaranya ialah:
1) Kegunaan bidara dalam mandi wajib wanita yang baru suci dari haid
Diriwayatkan dari ‘Aishah r.a, “(Apabila hendak mandi wajib) salah seorang antara kalian (wanita haid), ambil air yang dicampur dengan daun bidara lalu bersuci (sehingga sempurna). Kemudian tuangkan air di atas kepala seraya menggosok sehingga sampai air ke akar/akar rambutnya, kemudian ratakan seluruh tubuh dengan air.”
(Hadith Riwayat Muslim)
2) Kegunaan bidara dalam mandi bagi orang yang baru memeluk Islam
Diriwayatkan dari Qays Ibn ‘Asim r.a katanya: “Apabila aku masuk Islam, lantas Nabi s.a.w memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun sidr (daun bidara).”
(Hadith riwayat al-Nasa’i)
3) Kegunaan bidara bagi memandikan jenazah
Diriwayatkan dari Ummu ‘Atiyyah r.a katanya, “Nabi s.a.w pernah menemui kami sedangkan kami ketika itu sedang memandikan puterinya (Zainab), lalu Nabi s.a.w bersabda, ‘Mandikanlah dia tiga, lima, (atau tujuh) kali, atau lebih dari itu. Jika kalian perlu, maka gunakan air dan daun bidara. (Ummu ‘Atiyyah berkata, ‘Adakah dengan bilangan ganjil?’ Beliau bersabda, ‘Ya.’ dan campurkanlah di akhir mandinya kafur atau sedikit darinya.”
(Hadith riwayat al-Bukhari)
Oleh sebab kepentingannya, Nabi s.a.w turut melarang orang Arab ketika itu menebang pokok bidara yang berperanan sebagai penghijau bumi, sumber oksigen, tempat berteduh musafir dan habitat haiwan sepertimana hadith;
Dari ‘Abd Allah bin Habsyi berkata; “Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa menebang pohon bidara maka Allah s.w.t akan membenamkan kepalanya dalam api neraka.”
(Hadith riwayat Abu Dawud)

Kesimpulan dari himpunan nas berikut, pengkaji dapat menyatakan bahawa bidara merupakan tumbuhan syurga. Allah s.w.t menjanjikan kenikmatan kepada penghuni syurga di samping pohon
bidara. Nabi s.a.w turut memperingatkan mengenai peri pentingnya daun bidara sebagai campuran dalam bersuci atau mandian. Pohon bidara turut memainkan peranan penting dalam ekosistem. Sifatnya yang tahan lasak dan kewujudannya di kawasan tandus menjadikannya penting sebagai nadi persekitaran sehingga Nabi s.a.w melarang memusnahkannya.
-Semoga memberi manfaat-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan